Setelah berlanjutannya ke Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihak kami telah menerima aduan yang sangat ramai berkaitan isu percerian yang berlaku di rumah melalui handphone masing-masing.

Dalam hal ini, Mahkamah Syariahlah yang menjadi tempat rujukan untuk mengesahkan sama ada perceraian berbentuk media elektronik khususnya melalui applikasi whatsapp, telegram dan sebagainya adalah menepati rukun sah talaq atau tidak sah.

Bahawa dalam menentukan pensabitan talaq, Mahkamah Syariah satu-satunya sahaja yang berbidangkuasa untuk mengesahkan lafaz cerai yang telah dilafazkan oleh seorang suami.

Sebenarnya terdapat beberapa perkara yang perlu kita fokus dan faham berkaitan dengan suami yang suka bermain dengan Talaq walaupun terdapat larangan yang wajar di dalam syarak.

Contohnya mesej yang kami terima adalah seperti ayat:

“aku ceraikan kau, dan buatlah haluan masing-masing” 

Tiga perkara yang dilarangan bermain atau bergurau.

Berdasarkan sebuah Hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

” Tiga perkara yang seriusnya dilakukan dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya akan dianggap menjadi bersungguh-sungguh iaitu Nikah, Cerai dan Ruju’ semula (selepas mentalaqkan)”.

[ Hadis Riwayat Abu Daud ] 

Hadith di atas telah dengan tegas menjelaskan bahawa terdapat tiga perkara yang dilarangan bermain atau bergurau oleh kerana gurauan tersebut akan dihukumkan sebagai kata asal tanpa mengambil kira sebarang niat bermain-main atau bergurau senda.  

Tetapi perceraian melalui media elektronik khususnya berbentuk tulisan (SMS) hendaklah diteliti dan dilihat dengan lebih terperinci.

Sebenarnya talaq yang menggunakan teknologi terkini seperti SMS, email dan sebagainya yang berbentuk (telekomunikasi/elektronik) adalah lebih tidak menepati adab asal perceraian dalam syarak dan talaq melalui SMS ini lebih cenderung dikategorikan kepada talaq secara kinayah (kiasan) iaitu perlu melihat kepada niat asal suami yang ada makna talaq.

Terdapat dua jenis bentuk talaq iaitu:

  • lafaz sarih (jelas dan nyata)
  • lafaz kinayah (kiasan) merujuk kepada niat yang mempunyai makna talaq oleh si pelaku.  

Oleh itu, persoalannya sekarang sama ada jatuh talaq atau tidak?

Talaq melalui tulisan adalah bergantung kepada rukun-rukun dan syarat-syarat utama sama ada telah dipenuhi syarak atau pun tidak.

Rukun talaq adalah terbahagi kepada lima iaitu:

  1. Al-Mutallaqalaih (Orang yang melafazkan/suami),
  2. Sighah (lafaz talaq),
  3. Al-Mahal (Orang yang ditalaq/Isteri),
  4. Al-wilayah (kekuasaan),
  5. Al- Qasd (niat).

Hendaklah diteliti selanjutnya bahawa penulisan sms tersebut benar-benar dari suami (bukan orang lain yang tulis/taip), serta ayat cerai penulisan SMS tersebut adalah dari suami, sebetulnya memang suami mempunyai niat tanpa sebarang paksaan dan halangan (kekuasaannya), dan terakhir sekali yang diceraikannya itu adalah isterinya sendiri bukan isteri orang lain (isterinya yang baca sms).  

Jika memenuhi kesemua syarat di atas, maka boleh terjadinya tertalaqlah atau tercerailah isteri tersebut berdasarkan jumlah talaq yang dilafazkan oleh suami.

Jujurlah walaupun pahit.

Hendaklah ditegaskan di sini, perceraian berbentuk penulisan ini, suami hendaklah berlaku jujur, amanah dan mengaku benar sekiranya benar walaupun pahit keputusannya dalam Mahkamah nanti.

Biarlah mengaku benar tanpa menipu di dunia , asalkan selamat badan diakhirat kelak.  

Maka wajib ditegaskan di sini bahawa perceraian melalui penulisan SMS ini, suami hendaklah hadir bersama-sama isteri ke Mahkamah Syariah untuk memfailkan kes Pengesahan Lafaz Cerai menurut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam serta pada waktu perbicaraan hendaklah masing-masing memberi keterangan yang sewajarnya di hadapan Hakim Syarie.

Tanpa kehadiran Suami, akan memberi kesan besar kepada kes pengesahan lafaz cerai.

Jika suami tidak mahu ke Mahkamah Syariah apa perlu buat?

Hendaklah si Isteri boleh hadir ke Mahkamah Syariah untuk memfailkan kes Pengesahan Lafaz Cerai secara sendirian terlebih dahulu.

Wahai isteri, janganlah hanya terus menerus menunggu suami untuk memfailkan kes di Mahkamah ya, ini melibatkan iddah kamu, maka kamu berhak bertanggungjawab ke atas diri kamu sendiri.

Tanpa membuat kes Pengesahan Lafaz Cerai, kamu tidak boleh meneruskan kes perceraian yang lain di Mahkamah kelak.  

Seharusnya diingatkan bahawa talaq tidak sepatutnya di buat mainan atau gurauan.

Jika betul bersama-sama hendak bercerai, gunalah saluran yang betul.

Seorang suami sebaiknya mempunyai sifat bertanggungjawab dalam menjaga iddah isterinya sepertimana disarankan di dalam syarak.

Akhir kata “Ambil Isteri dengan cara baik , pulangkan semula dengan cara baik” iaitu sudah bernikah di hadapan Qhadi dengan baik mengikut prosedur yang ditetapkan.

Jika hendak bercerai mengadulah di Mahkamah Syariah dan lafazkanlah dengan cara baik serta ada kebenaran oleh Hakim Syarie.  

“JANGAN MEMPERMUDAHKAN AGAMA SEHINGGA NAMPAK RINGANNYA SESUATU HUKUM” 

Kredit Gambar: Islam Itu Indah

About the Author

Amalina

Peguam Syarie

Nur Amalina Adam merupakan seorang Peguam Syarie Kedah & Pulau Pinang. Beliau berkhidmat di Tetuan Shazril Khairy Mustafa & Associates.

View All Articles