Memiliki sebuah pekerjaan adalah keharusan bagi mereka yang merasa perlu untuk memenuhi keperluan hidupnya dengan baik. Tanpa bekerja, tak akan ada wang yang cukup untuk menyambung hidup. Dan tanpa bekerja, mustahil untuk memiliki kehidupan yang layak seperti kebanyakan orang di luar sana. Lalu, jika kamu adalah seorang wanita yang merancang untuk berkahwin, maka pilihlah lelaki yang memiliki sebuah pekerjaan. Tidak salah untuk sama-sama mencari rezeki, tetapi pada zaman serba moden ini, memilih seorang lelaki yang sudah mempunyai pekerjaan akan membantu kehidupan ekonomi rumah tangga kalian di kemudian hari. 

Sangat ditegaskan bahawa lelaki yang menganggur tidak layak untuk menjadi ketua sebuah keluarga kerana pasti banyak masalah yang akan dihadapi oleh pasangan. Pasangan akan menjurus kepada perselisihan dan keretakan rumah tangga yang tiada kesudahan. Jadi, sebelum berlaku perselisihan dan keretakan, berhati-hatilah dalam memilih suami dan kelak akan menjadi ayah kepada anak-anak anda. Antara krisis-krisis yang bakal dialami jika calon suami anda menganggur ialah:

1. Pengabaian nafkah keluarga

Suami wajib melaksanakan semua hak isteri dan anak-anak bagi menjamin asas kerukunan sebuah rumah tangga.  Sebarang bentuk pengabaian terhadap hak dan tanggungjawab ini biasanya akan membawa kepada kecelaruan dan keruntuhan rumah tangga. Disebabkan menganggur, keluarga anda akan terpaksa bergantung kepada simpanan atau meminjam wang daripada orang lain untuk meneruskan kehidupan seperti membeli makanan dan keperluan rumah. Ketua Pengarah Kehakiman Syariah, Datuk Dr. Mohamad Naim Mokhtar mendedahkan banyak kes perceraian berlaku dan didapati punca perceraian yang banyak difailkan disebabkan pengabaian tanggungjawab nafkah dan tiada keserasian atau tiada persefahaman di antara pasangan. 

2. Isteri terpaksa melibatkan diri untuk bekerja

Jika perempuan terpaksa melibatkan diri untuk bekerja dan mencari rezeki. Akibatnya, mereka terpaksa bersaing dengan golongan lelaki dalam pelbagai bidang pekerjaan. Jika ini berlaku, golongan perempuan pasti terdedah kepada perkara yang negatif serta penyelewengan. Keadaan yang berlaku hari ini adalah bukti paling jelas terhadap kenyataan itu. Kesannya, rumah tangga yang memerlukan seseorang untuk mengurus dan menjaga hal ehwalnya serta mendidik anak-anak tidak dapat dipenuhi. Malah, rumah tangga menjadi tidak terurus. Rumah tangga yang sepatutnya menjadi sumber kebahagiaan, pencetus kedamaian, tempat berehat dan berkumpul, kini bertukar menjadi punca masalah dan kacau bilau.

3. Dipandang rendah oleh masyarakat

Walaupun seorang penganggur kebiasaannya tidak akan memberi kesan yang ketara kepada masyarakat, tetapi kadar pengangguran yang tinggi di kawasan tertentu sering mendorong kepada kadar kemiskinan yang lebih tinggi. Hal ini juga boleh membawa kepada cacian dan hinaan yang akan dilontarkan oleh masyarakat akibat daripada perbuatan sendiri. Perkara ini boleh memberi kesan kepada isteri dan anak-anak sepeti anak-anak akan diejek di sekolah dan juga isteri akan dihina oleh jiran tetangga. Perkara ini juga boleh memberi kesan negatif kepada mental yang boleh menyebabkan tekanan emosi dan sebagainya.

Justeru, berkenalan dan pilihlah calon suami yang baik-baik untuk diri anda. Perkara ini bukan sahaja melibatkan diri anda, bahkan juga masa depan, keluarga, masyarakat dan banyak lagi. Namun, jika masih boleh berbincang dan calon suami anda boleh berubah, anda boleh mempertimbangkan dan menilai semula. Jika masih juga tiada perubahan, anda boleh berfikir yang sebaiknya untuk diri dan masa depan anda sama ada layak atau tidak calon suami anda untuk dijadikan ketua keluarga.