Bertunang ni bukanlah perkara yang kita boleh ambil mudah. Orang cakap ujian bertunang sangatlah berat. Semakin kita berusaha menghalalkan hubungan itu, semakin banyak ujian dan cabaran yang harus kita tempuh. Bertunang ni nampak indah kerana hampir selangkah lagi kita akan mendirikan rumah tangga, namun realitinya hanya yang melaluinya sahaja yang tahu. Tak semua orang boleh harungi dugaan bertunang ni. Cuma hati yang ikhlas dan kuat sahaja yang boleh teruskan. Kalau tak kuat, mungkin hubungan itu akan terputus di tengah jalan.

Masa bertunang ni lah bisikan syaitan kuat. Iblis kalau boleh tak nak kita dirikan rumah tangga sebab tu dia akan kacau kita dan porak perandakan niat baik kita untuk kahwin. Bertunang ni memang kena kuat semangat dan jaga hubungan sebaik mungkin. Janganlah disebabkan perkara-perkara yang tak masuk akal boleh meruntuhkan pertunangan kita.

Ini antara dugaan-dugaan bertunang yang seringkali dihadapi oleh pasangan-pasangan bertunang.

1. Diuji dengan masalah kewangan.

Ini adalah masalah yang paling banyak berlaku. Duit yang tak mencukupi untuk persiapan kahwin dan kehidupan selepas berkahwin. Kita harus pastikan duit kahwin sedia dan disimpan tidak diusik bagi perkara sampingan. Jika ada duit lebih, boleh guna. Tapi kalau duit betul-betul cukup untuk kahwin, ada baiknya utamakan yang penting, bincang dengan pasangan untuk buat keputusan. Situasi selalu berlaku di mana pihak lelaki sahaja yang harus bertungkus lumus mencari duit untuk kahwin, apa salahnya kalau yang perempuan ni pun sama-sama membantu pasangan. Barulah boleh kumpul duit sama-sama dan kedua-dua pihak tidak rasa terbeban.

2. Masalah orang ketiga.

Orang ketiga merupakan racun dalam sesebuah perhubungan. Kewujudannya selalu membuatkan keretakan perhubungan antara pasangan. Apatah lagi apabila orang ketiga ini adalah ‘ex boyfriend’ ataupun ‘ex girlfriend’. Kes seperti ini banyak berlaku kepada pasangan bertunang di mana tunang kembali kepada kekasih lama. Kekasih lama yang tiba-tiba muncul dan datang tanpa diundang juga boleh memutuskan tali pertunangan. Dugaan orang ketiga ini boleh goyah bila-bila masa sahaja apabila kita sendiri tidak pandai mengawalnya.

Seperti contoh lain, curang di tempat kerja. Apabila kita sedar bahawa sudah berstatus tunangan orang, batas-batas pergaulan bersama rakan sekerja haruslah dijaga sebaiknya. Seeloknya jangan terlalu melayan jika rakan sekerja berlainan jantina. Menjadi seorang yang peramah itu tidak salah, tapi terlebih peramah hingga membuatkan hati terpaut pada orang lain itu yang salah.

3. Tekanan keluarga pasangan.

Apabila sudah mengenali keluarga bakal pasangan, sudah pastinya sedikit sebanyak perangai kita mereka perhatikan. Jika keluarga pasangan adalah orang yang baik-baik, mereka biasanya akan biarkan dan setuju sahaja siapa pun pilihan hati anaknya, namun jika sebaliknya. Sudah pasti lah banyak perkara yang mereka tidak puas hati dan seterusnya terjadi pula campur tangan keluarga dalam hubungan.

Lebih menjadi masalah lagi apabila keluarga pihak perempuan meletakkan hantaran yang tinggi. Ini mengakibatkan keluarga pihak lelaki tertekan memikirkan hal untuk mencari wang yang lebih bagi memenuhi kehendak pihak perempuan. Mungkin akan terdetik perasaan tidak senang terhadap keputusan pihak perempuan. Hal ini boleh menjadi halangan kerana keluarga pula tidak merestui hubungan.

4. Bertunang terlalu lama.

Masa awal bercinta, segalanya nampak indah sehinggalah bertunang. Tapi, bila ikat tali pertunangan lama-lama, ujiannya boleh buatkan pasangan mulai bosan. Hari-hari jumpa, dan berhubung dalam whatsapp setiap masa, mula lah rasa muak dengan tunang sendiri. Ujian bertunang macam-macam saja mengundang. Jadi janganlah tunang terlalu lama sangat, kerana syaitan sering menghasut supaya pasangan tak jadi untuk bina masjid !

Di sinilah hikmahnya Islam tidak menggalakkan tempoh pertunangan yang terlalu lama dan dilambatkan tanpa sebab yang relevan. Kita juga perlu sedar bahawa syaitan sentiasa bersedia dari setiap penjuru untuk memulakan misi ‘mencucuk jarum’.
Sepanjang tempoh pertunangan, pelbagai perkara boleh berlaku akibat salahtanggapan atau bisikan hawa nafsu yang merajai diri.