Sikap panas baran adalah satu bentuk ekspresi emosi yang terpendam oleh individu sehingga melepaskan amarah dan sikap agresif yang tidak terkawal. Sikap panas baran ini juga adalah sesuatu yang menakutkan terutamanya dalam perhubungan. Seringkali kita dengar banyak kisah-kisah pasangan yang bergaduh, tidak bersefahaman dan akhirnya berpisah berpunca dari pasangan yang panas baran ini.

Kebiasaannya, sebelum berkahwin lagi korang sudah boleh melihat tanda-tanda panas baran ini yang ada pada pasangan korang. Biasanya pasangan cepat marah atau cepat bergaduh juga adalah tanda bahawa pasangan korang mempunyai sikap panas baran. Sesetengah pasangan juga berani marah-marah padahal mereka belum berkahwin lagi. Mungkin keadaan jadi lebih parah apabila sudah berkahwin nanti. Ada sesetengah orang sanggup bertahan dan stay dengan pasangan yang panas baran sebab dah terlalu sayang.

Setiap masalah ada solusinya. Begitu juga dengan kes pasangan panas baran ini. Sikap ini sebenarnya boleh dikawal dan lama-lama mereka boleh berubah. Ini antara cara yang korang boleh cuba untuk handle pasangan korang yang cepat naik angin.

1. Ajak berbincang

Jika pasangan korang selalu marah-marah, ajaklah pasangan berbincang apabila marahnya sudah reda. Ajak dia slow talk dengan korang di tempat yang tenang. Jika pasangan yang sudah berkahwin, carilah masa yang sesuai seperti contoh apabila anak-anak sudah tidur. Biasanya orang yang panas baran tidak sukakan suasana yang bising dan serabut. Tanya dia kalau-kalau dia ada masalah yang asyik buatkan dia nak marah je. Mungkin masalah tu korang tak boleh nak settlekan, at least lepas jugaklah tekanan yang pasangan korang tanggung tu. 

2. Jangan cabar pasangan

Orang panas baran sangat pantang dicabar ! Bila pasangan korang marah, jangan keluarkan ayat-ayat mencabar seperti “tinggalkanlah saya” atau “ceraikan saya”. Api bila bertemu dengan api takkan jadi reda. Korang harus sentiasa ingatkan diri untuk tidak melawan dengan emosi ketika dia sedang marah. Cubalah bertenang dan lebih baik diam sahaja supaya keadaan tidak menjadi lebih keruh. Jangan kerana mulut, badan binasa.

3. Beri perhatian yang lebih

Biasanya pasangan yang panas baran ini menyimpan 1001 masalah atau kisah silam yang pahit. Seperti contoh mereka mempunyai sejarah ‘broken family’. Perkara itu membuatkan mereka membesar menjadi seorang yang panas baran kerana membesar dengan keadaan emosi yang tidak stabil sejak kecil. Oleh itu, berilah perhatian yang lebih buat pasangan korang. Tanpa korang sedar, pasangan korang sememangnya kurang kasih sayang daripada orang sekelilingnya. So, penting untuk korang tumpukan perhatian kat mereka. Bagi ucapan sayang, pujian dan sentiasa ada ketika dia memerlukan korang. Mungkin tindakan korang ni pun boleh buat pasangan korang happy dan rasa dihargai.

4. Tabah dan bersabar

Korang kena cekalkan hati apabila berdepan dengan pasangan yang panas baran. Orang yang baran ni akan rasa orang lain tak berlaku adil dekat dia. Mereka akan selalu terasa hati dan kecewa sebab semua orang seolah-olah tidak memahami dia. Jadi, time ni lah korang kena mainkan peranan dengan selalu ingatkan dia untuk sentiasa tabah dan bersabar. Bagi kata-kata semangat dan ingatkan dia yang korang selalu ada dengan dia waktu susah dan senang. Barulah hati pasangan korang lega dan tenang setelah dengar kata-kata semangat dari korang.

5. Guna orang tengah

Ini adalah pilihan terakhir setelah korang dah cuba segala cara untuk handle pasangan korang yang panas baran. Korang cuba guna orang tengah iaitu family atau teman rapat dia. Minta tolong mereka untuk pujuk dan tenangkan dia jika dia tidak mendengarkan korang. Ataupun korang boleh juga rujuk pakar kaunseling untuk membantu dia menangani sikap panas barannya. Mungkin dengan cara yang lebih profesional, pasangan korang dapat dibantu dan boleh berubah.

Tapi, jika akhirnya usaha korang tidak membuahkan hasil atau keadaan menjadi lebih teruk. Sikap panas baran pasangan korang pun kekal dan menjadi masalah yang tidak dapat diubati dalam perhubungan, lebih baik korang fikir masak masak sama ada masih lagi ingin memberi peluang ataupun mahu tinggalkan sahaja. Cuma korang yang tahu apa yang terbaik buat diri korang sendiri. Jangan sampai keputusan korang boleh musnahkan kehidupan dan masa depan korang.