Assalammualaikum bakal-bakal imam!

Sebelum anda masuk ke gerbang perkahwinan, perkara pertama yang perlu berada paling atas dalam checklist kahwin anda ialah ilmu agama.

“Hah? Ilmu agama? Apa kaitan do? Tahu sikit-sikit dah lah, aku bukan ustaz.”

Hello cik abang, bangun! Anda diharapkan oleh keluarga pasangan untuk memimpin puteri kesayangan mereka ke syurga tau, bukan neraka. Jika anda tahu ilmu agama sekadar untuk lulus kursus kahwin, anda mungkin akan terjebak dengan masalah yang sangat besar pada masa hadapan. Masalah apa? Macam-macam masalah lah seperti perceraian, pengamalan ibadat yang salah dan macam-macam lagi. Ceteknya ilmu agama seseorang mampu menggoyahkan mahligai perkahwinan yang dibina tau.

“Jadi, orang macam saya ni nak mula macam mana? Saya memang betul-betul blurr tak tahu nak belajar mula dari mana?”

Tenang, anak muda. Setiap masalah pasti ada jalan keluar, yang penting kena usaha. Anda boleh lihat di bawah tentang perkara-perkara asas dalam agama yang patut diketahui oleh bakal imam selepas bergelar suami.

1) Ilmu Solat

Solat itu tiang agama gais. Jangan buat main. Ambil tahulah tentang solat ini sedalam-dalamnya. Contohnya macam, maksud bacaan dalam solat dan tatacara nak solat. Nanti takdalah kalau kena bermalam di rumah mentua selepas kahwin terkial-kial bila disuruh jadi imam. Belajar juga macam mana solat bersendirian dan berjemaah. Cakna juga dengan jenis-jenis solat. Nanti bila sudah kahwin, isteri tanya, jawapan anda tak tahu. Susahlah kawan, anda kan ketua keluarga.

2) Ilmu Al-Quran

Al-Quran. Kalau tak mampu hafal, cukuplah sekadar tahu cara untuk baca dengan tajwid yang betul. Tak perlu sampai lagu-lagu pun. Cukuplah sekadar tahu baca menggunakan tajwid yang betul. Kadang-kadang tu ambillah masa untuk tadabur ayat yang anda baca. Jangan baca kosong sahaja. Mana tahu ilmu yang and abaca di dalam al-Quran boleh digunakan dalam bahtera rumah tangga anda nanti. Hafal juga surah-surah lazim di dalam al-Quran, lagi power kalau hafal yang agak panjang. Ikutlah kemampuan anda. Nanti bila kena imamkan solat, takdalah asyik nak baca tiga Qul itu sahaja. Angkat sikit standard di hadapan keluarga mentua.

3) Ilmu Munahakat

Ilmu munahakat atau ilmu kekeluargaan merupakan satu ilmu yang sangat penting bagi pasangan yang bakal dan juga telah berkahwin. Ilmu munahakat ini perlu difahami betul-betul tanpa mengira lelaki mahu pun perempuan sebab dalam perkahwinan, ada banyak perkara yang berlandaskan syariat. Mahu tak mahu, anda selaku bakal imam kena tahu semua tentang munahakat supaya jika ada apa-apa yang berlaku dalam gerbang perkahwinan, tidak perlulah semua perkara perlu menyusahkan orang lain untuk menguruskannya sebab anda tak tahu ilmu tersebut.

4) Tauhid

Tambahkan tauhid anda. Takkan sifat 20 Allah pun tak tahu? Malu tau! Jadi, tambahlah ilmu tauhid anda. Ilmu tauhid merupakan ilmu mengenal Allah dengan lebih baik. Nanti bila dah kahwin, bila anak-anak tengok anda tidak tahu apa-apa, seganlah. Sekurang-kurangnya ambillah tahu. Hal ini bukan bermanfaat untuk perkahwinan anda sahaja bahkan sangat bagus untuk kehidupan anda kerana perkara ini sepatutnya diambil tahu oleh semua umat Islam.

5) Amalkan Amalan-amalan Baik

Pengamalan amalan-amalan baik ini bukan sahaja anda tunjukkan di depan pasangan anda sahaja bahkan boleh diamalkan seumur hidup. Pertama sekali, anda kena mengandaikan yang anda orang baik. Maksudnya, anda kena acah baik untuk benar-benar menjadi baik. Mula-mula, buatlah amalan baik secara terpaksa namun makin lama, perkara itu akan menjadi sebati dengan diri dan anda akan rasa janggal jika meninggalkan amalan baik. Perkara ini boleh membina imej anda yang baik di hadapan semua orang termasuklah keluarga mentua apabila anda berkahwin nanti.

Kalau tak cuba, tak tahu kan? Selamat mencuba!

Tagged in:

,

About the Author

Adzrif

Penulis

Seorang 'Wedding Videographer' yang minat melihat detik-detik indah di majlis kahwin. Juga, peminat kopi yang tegar!

View All Articles