Pernah tak terfikir tabiat suami atau isteri anda yang sampai sekarang anda tak boleh nak hadam walaupun sudah beberapa tahun lamanya mengenali pasangan anda? Jika difikirkan balik, kadang – kadang menyakitkan hati dan sampai kita sendiri tidak tahan tapi kita terpaksa mendiamkan diri demi menjaga perasaan mereka. Tapi sampai bila nak mendiamkan diri? Sampai bila nak tahan dengan tabiat mereka yang menyakitkan hati dan merunsingkan fikiran minda anda?

Mari kita kenal tabiat buruk dalam perkahwinan dan cara mengatasinya.

1. Menceritakan hal rumahtangga kepada orang lain 

Wanita sifatnya yang suka didengari seringkali terjebak dalam tabiat buruk ini. Ada saja perangai suami yang kurang disenangi, senang nak cerita dengan orang lain. Jadi, para wanita sekalian, hati – hatilah ketika bercakap mengenai hal rumahtangga kepada orang lain. Senang cerita, cuba letakkan situasi anda dalam kasut suami. Bayangkan anda terdengar suami anda mengata pasal perangai anda depan rakan sekerja dan jiran tetangga? Tak ke panas hati? Jadi, jika jadi apa-apa jangan mudah melatah dan cuba untuk kawal diri daripada bertindak secara melulu serta jika ada masalah dan ketidakpuasan hati terhadap pasangan, alangkah baiknya jika bersemuka dan terus terang dengan pasangan anda? Mungkin pasangan anda juga tidak sedar akan tabiat buruknya dan perlukan pertolongan banyak daripada anda. Ingatlah, kewajiban utama kita selepas berkahwin adalah menjaga aib pasangan supaya maruah perkahwinan kita akan terjaga.

2. Kuat berleter

Tak kira lelaki atau perempuan, mesti ada antara pasangan yang kuat meleter kepada pasangan memasing. Padahal kerja rumah yang menjadi rutin harian je, masih perlu disuruh – suruh dan habis leteran dikeluarkan. Mungkin ada pasangan yang perfectionist, sukar bila tengok kerja rumah tidak sempurna sehingga meleter kepada pasangan mereka yang berperangai agak laid back, hal ini mungkin akan mengundang ketidakselesaan antara pasangan. Bila isteri menyuruh suami membuang sampah, ada je alasan suami untuk menangguh kerja itu, jadi mulalah isteri meleteri suami tentang semua kerja rumah dia lakukan seorang diri tanpa bantuan suami. Sebaliknya, kenapa kita tidak percaya sahaja bahawa pasangan kita akan melakukan kerja itu walaupun bukan masanya sekarang? Kenapa kita perlu membuang masa dan tenaga meleteri pasangan tentang perkara yang sia-sia? Percayalah pasangan anda sangat menyayangi anda dan akan melakukan perkara yang anda suruh. Jadi jangan khuatir dan elakkan jadi queen control dalam rumahtangga. 

3. Kurang meluangkan masa bersama

Mungkin akibat komitmen kerja atau sudah mempunyai anak, suami isteri susah untuk meluangkan masa bersama dan komited dengan komitmen yang ada. Hal ini menyebabkan mereka sering mencari me time bagi melepaskan tekanan kerja dan komitmen rumah tangga. Suami isteri akan mencari ruang dan masa untuk bersendirian namun sampai bila ianya akan memberi ketenteraman kepada diri? Tidak kah rasa bersalah dengan isteri atau suami anda kerana sudah lama tidak meluangkan masa bersama? Jadi, apa kata luangkan masa bersama pasangan anda dengan hobi yang anda dengan pasangan anda suka. Masih banyak lagi anda tak kenal dalam diri pasangan anda. Mungkin anda suka menonton Netflix atau bersukan bersama pasangan anda, jadi ambil masa untuk lakukan aktiviti kesukaan anda bersama pasangan anda. Jangan terlalu membiasakan diri dengan me time kerana takut terabai tanggungjawab anda bersama pasangan anda. 

4. Tidak bertegur sapa dengan pasangan

Tabiat ini sering berlaku antara pasangan yang sibuk bekerja dan sudah mempunyai anak. Jika suami pulang ke rumah, sukar untuk menyapa isteri kerana fikiran masih di tempat kerja dan begitu juga isteri, sifat naluri keibuan menjadikan mereka meletakkan anak lebih daripada suami sehingga lupa untuk bertanya tentang situasi suami. Padahal masing – masing mengidamkan suara pasangan untuk bertanya hari mereka bagaimana di tempat kerja, tetapi terlalu komited dengan komitmen masing-masing sehingga lupa tentang perkara mudah seperti ini yang mampu beri kesan kepada kehidupan seharian sebagai pasangan suami isteri. Cuba selepas ini, jika balik daripada kerja tunjukkan diri anda gembira melihat pasangan anda setelah seharian bekerja. Ceritakan situasi yang kelakar ditempat kerja atau cuba puji pasangan anda, percayalah ianya mampu memberi kesan yang baik dalam kehidupan seharian anda.

Dalam perkahwinan pasti ada pasang surutnya dan untuk menjaga bahtera perkahwinan yang berkekalan, memerlukan kerjasama pasangan suami isteri untuk sama sama memahami dan menerima baik buruk masing masing.

About the Author

Adzrif

Penulis

Seorang 'Wedding Videographer' yang minat melihat detik-detik indah di majlis kahwin. Juga, peminat kopi yang tegar!

View All Articles